" Sekarang buat apa?"
"Tak kerja? Belajar tinggi tinggi duduk rumah sahaja?"
"Sudah kahwin? Tunang?"
"Habis buat apa? Berniaga online?"
Soalan -soalan rimas. Soalan soalan masyarakat yang aku malas nak jawab .Tak jawab pun salah juga , lagi banyak telahan dan fitnah berleluasa.
"Wah ... padanlah banyak masa. Boleh buat kerja sukarela,membaca,pergi ke kelas dan macam macam aktiviti!"
"Senanglah bapak ko kaya...bolehlah tak kerja dowh"
"Tak kerja ni tunggu orang masuk meminang ker? Jangan memilih sangat nanti tak laku, baru tau"
"Biznes online ni boleh untung ke?"
Hmmm..kalau ikut hati yang memberontak, memang binasa mulut .Kalau dilayan tak fasal -fasal lebur sahaja pahala bersabar,menggunung dosa kalah Gunung Uhud.
Kadang kadang tu terlepas juga jawapan berbisa sebab aku juga insan biasa, bukan malaikat. Tambah lagi yang bertanya bertubi- tubi itu orang asing, baru mengenali aku tak sampai lima minit sudah menyoal macam Karpal Singh.
Orang sebegini adakalanya aku rasa kasihan dan simpati. Lantang dan kuat bila menghakimi kehidupan seseorang tetapi hakikatnya kalau diselidiki atau sembang lama dengan mereka,aku dapati dia manusia yang mindanya penuh dengan negativiti, sebenarnya punya pelbagai masalah yang lagi berat dan hebat dariku, tidak ada ketenteraman dalam dirinya, kosong dan miskin dari segi amal, pemikiran,masa dan akhlak.
"Hmm.. kalau diberi 48 jam sehari pun jika tidak pandai urus masa dan tepati janji pun tidak berguna. Memberi alasan lebih mudahkan dari mengurus masa? Allah beri kelapangan masa kepada mereka yang Dia kehendaki. Kalau selalu mengeluh sibuk dan katakan diri tak cukup masa ,penat itu dan ini justeru itulah yang akan kita perolehi.Kerana kita tidak bersyukur dengan pemberianNya dan sentiasa berkata demikian hinggakan ia menjadi doa sampaikan sudah jadi mantra harian" (Macam dia seorang sahaja yang sibuk.haha.Agaknya bagi dia orang tak bekerja itu tidak berbuat apa apa..tiada kerja katakan. Prof Ungku Aziz pernah menukilkan bahawasanya orang yang selalu berkata dirinya sibuk itu hakikatnya adalah orang yang paling tidak banyak kerja.Hanya banyak cakap kurang kerja.Yalah sibuk bercakap kan.)
"Ya belajar tinggi tinggi duduk dapur jer. Kenapa awak nak ambil saya kerja kah?Awak nak bayar gaji saya" (Mungkin dia susah tengok aku tak kerja..hehe.sakit mata kot.Baginya orang tak bekerja ni makan tidur sahaja)
"Bujang.Ada apa dengan status saya? Kenapa akak nak offer suami akak kah? Saya jadi madu akak boleh? Hehe.." (Terkedu kakak kepoci..mungkin tak sangka terpacul jawapan bonanza)
"Belum cuba belum tahu.Lagipun rezeki Allah tu di mana mana.Rezeki Allah itu luas. Berusaha dan niat sahaja aku berniaga kerana Allah Taala. Tak kira apa kaedahnya asalkan halal dan amanah."
Nah..itu jawapanku bagi wartawan yang tak henti henti melemaskan aku dengan soalan cepu mas.Soal sesedap rasa tanpa memikirkan perasaan tetapi yang lucunya bila sudah diberi jawapan terasa hati pula. Usah melihat keaiban atau mencari kekurangan orang lain sebaliknya fokus pada keaiban dan kelemahan diri sendiri.Jika tidak punya masa, cari tips dari orang yang berjaya bagaimana mereka mengurus masa dan boleh melakukan pelbagai perkara dalam masa yang suntuk, pasti kita akan mempelajari sesuatu berguna dari mereka.Dan pabila mereka sudah berjaya dan lebih dari kita usah mencemuh dan iri hati.Itu bahagian mereka,rezeki kita tak lama lagi, Insha Allah.
Mereka tidak tahu apa yang dimiliki hari ini bukan milik mereka tetapi sebenarnya adalah milik mutlak dan keizinan Allah.Hari ini amat mudah untuk mereka berkata kata.Esok lusa kita tidak tahu nasib apa yang bakal menimpa kita.
Aku bersyukur dengan nikmat tidak bekerja.Walaupun tidak punya gaji ribu riban seperti dahulu mewah nak makan apa sahaja tanpa perlu berfikir mampu atau tidak ataupun membeli belah tanpa perlu buat kira kira, aku cukup bahagia dengan rezeki aku. Aku masih tersenyum dan tertawa malah aku merasakan udara yang aku hirup hari ini lebih segar setiap hari.Aku melihat segalanya lebih indah dari semalam.
Hidup ini adalah pelangi perubahan.Dalam Al Quran pun ada menyebut sesuatu umat itu hanya akan berjaya jika mereka mengubah dirinya. Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah,manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa. Umpamanya si perokok tegar yang terpaksa berhenti merokok setelah disahkan menghidapi kanser dengan si perokok yang mahu anak kandungnya lahir normal tanpa kesan mudarat dari racun rokok.
Aku berubah daripada bekerja ke tidak bekerja kerana Allah. Aku tidak berhutang apa apa jawaban dengan manusia.Cukuplah aku berhutang dengan Illahi.Allah bagiku sudah mencukupi. Ya , Allah itu telah menciptakan aku maka Dialah yang akan menjagaku. Aku tidak gundah dengan hari esok kerana aku yakin dengan kuasa Allah apatah setelah tidak punya pekerjaan,kehilangan ibu dikasihi dan lain lain lagi ujian.Itu semua membuat kita lebih kuat dan tabah mengharungi liku- liku kehidupan. Apa yang kita nak gusarkan? Soalan duniawi seperti siapa yang akan jaga kita bila tua kemudian hari membujang ke tua,siapa nak bayar bil dan tanggungan dan sewaktunya itu soalan yang remeh temeh. Kau sudah tahu jawapannya bukan. Ya, Allah.. kepada Dia kita akan kembali. Bukankah Islam itu mengajar kita untuk bersangka baik, istikharah, berusaha dan bertawakal serta berdoa?
Apakah tiada pekerjaan itu sesuatu yang hina lagi buruk? Itu pandangan orang yang melihat dari perspektif separuh gelas air itu kosong.
Boleh jadi dengan keputusan tidak bekerja itu membuka peluang pekerjaan baru yang lebih baik untuk kita. Atau boleh jadi ia memberi kesempatan untuk kita menuntut ilmu baru,memperdalamkan pengetahuan atau melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi?
Namun paling utama sekali ia mendekatkan diri kita kepada pencipta yang memberi anugerah paling mahal sekali iaitu masa. Masa kita dengan Allah ..ia tidak boleh dibeli atau dibayar. Bagi siapa yang telah merasai nikmat ini pasti tahu betapa manisnya..betapa indahnya menyelusuri hari dengan nurNya,mendengar alunan bait bait ayatNya dan melihat keajaibanNya.
Ia hanya boleh dirasai dengan mata hati bukan dengan mata kasar.
Sejujurnya aku tidak terasa hati dengan soalan kebudakan yang ternyata belum cukup matang kerana aku anggap mereka itu masih jahil dengan soal kehidupan.Ada kalanya dalam jawapan bergurau itu ,kuselitkan dakwah dan peringatan kerana aku rasa bertanggungjawab untuk menyedarkan mereka. Dunia ini dicipta untuk keperluan bukan kemahuan. Orang yang bersyukur itu cukup dengan nikmat sedikit.
Adapun orang yang kufur nikmat tak pernah akan rasa cukup. Berfikirlah sebelum bercakap. Adakala diam itu lebih bijak dari berkata-kata yang menunjukkan kebodohan diri.