Saturday, February 22, 2014

Khatam 30 Juzuk dalam 30 hari

Biar betul khatam Al Quran 12 kali dalam setahun?

Hmmm..Formula tampak mudah.
Strategi ajaibnya ialah baca 30 Juzuk dalam 30 hari.
Hanya dalam masa sebulan sahaja boleh khatam Al Quran satu kali.
Darab dengan 12 bulan , maka 12 kali  khatam Al Quran.
 
Oh, itu mustahil sama sekali!
Jangan kata satu juzuk, satu muka surat pun tak mampu.Bacaan masih merangkak-rangkak .Siput sedut pun gerak laju dari itu. Tajwid tunggang langgang. Semua dibelasah dua harkat tak kira mad asli atau tidak. Makhraj lagi lah ke laut.Ini natijah selalu panjat pokok, ponteng ngaji sekolah agama.
 
Baik, kita lihat pecahan matematiknya pula :
1 Quran  = 30 Juzuk
30 Juzuk =30 hari
# maka 1 hari = 1 Juzuk
 
1 Juzuk = 20 muka surat
20 muka surat ÷ 5 kali solat fardhu
#maka 1 solat fardhu = 4 muka surat*
 
* Boleh baca sebelum solat , masa solat atau selepas solat fardhu.
 
Syeikh berpesan mulakan di awal pagi sebelum waktu Subuh.Qiamullail dengan tilawah Al Quran. Baca lebih sedikit sekitar 10-15 muka surat kerana waktu itu sunyi dan belum lagi dihimpit dengan kesibukan dunia, maka mudah untuk fokus bertadabbur memahami tafsiran ayat Kalamullah.
Katanya lagi... Alangkah indahnya sekiranya mashaf rasm uthmani itu menjadi perkara pertama yang dilihat oleh matamu sebaik sahaja bangun tidur. Air wudhuk mungkin bisa menyuci anggota luaran akan tetapi ayat ayat suci itulah yang akan menyuci dalaman yakni hati dan jiwa.
Selepas itu bolehlah sambung membaca satu atau dua muka surat sahaja pada setiap waktu solat fardhu jika khuathir kerja tidak mengizinkan kita untuk duduk lama di hadapan rehal. Jika ada duit lebih disyorkan membeli tiang yang ahli koir atau musik gunakan untuk membaca nota nota musik. Dapatlah tunaikan sunnah nabi berdiri qiam dan solat subuh membaca Al Quran lama sedikit dengan ada bantuan tiang sakti tadi. 
 
Hati masih belum yakin sepenuhnya. Syaitan mula mencucuk jarumnya. "Engkau pasti boleh habiskan 1-2 muka surat setiap kali solat fardhu? Keputusan muktamad? Bagaimana dengan kerja, temujanji, keluarga dan komitmen lain? Ahh..baru jam 1 tengahari. Kau punya banyak masa nanti lepas Isyak."
 
Usai Isyak, tangan mencapai kitab .
Baru baca seayat dua tekak sudah  kering. Baca lagi sepuluh ayat rasa lenguh leher. Sambung baca ke satu muka surat, kaki mula kebas. Hati mula gundah gelana bila sampai muka surat dua. Terasa masa seakan berlalu begitu lambat  untuk tiba ke laman muka tiga. Syaitan bertempikan lari tadi kini sudah ada disisi. Was was mula menerpa.Semangat kian luntur. Buta huruf jadi pembunuh motivasi diri.
 
Jangan mudah menyerah kalah. Pasti ada jalan!
 
Kenal pasti masa yang diperlukan;
4 muka surat = 10-15minit
20 muka surat = 50-60 minit
1juzuk = 1 jam dalam 1 hari.
 
Jika kita mampu menonton wayang lebih dari sejam atau membaca status fb berjam- jam apatah lagi membaca Al Quran dalam masa sejam.Sebenarnya kita bukan tak mampu, cuma tak mahu sahaja :-)
 
Tidak teringinkah menjadi hafiz dan hafizah?
Tak mahukah kita membebaskan 10 ahli keluarga dari azab api neraka dan melihat ibu bapa kita memakai mahkota di syurga nanti bila sudah pandai menghafal Al Quranul Kareem?
 
Tak terkilankah bila Allah tanya buat apa dengan masa sejam di dunia?
 
Berhenti mencari alasan.
Mulakan tindakan!
 
Kini hidayah bersepah depan mata.
Cuma mahu atau tidak sahaja.
 
Macam - macam ada.
Ada kelas berbayar dan percuma,ada kursus intensif dan jangka panjang,ada tadarus dan talaqqi di masjid, ada teknik canggih Al Baghdadi, Furqan & Iqra,ada mashaf sebesar poket, ada android dalam telefon pintar , ada rancangan tv Al Hijrah,Oasis,TV9 dan radio IKIM, ada group whatsApp dan facebook One Day One Juzuk Malaysia, ada pen yang boleh berkata kata, ada cd & mp3 karaoke Syeikh Mishary (bacaan lambat), Ghamidi (bacaan sederhana) dan Sudais (bacaan laju).
 
Pilih jangan tak pilih , Jah!
Nak melangkah ke Jannah bukan mudah.
 
Syurga bukan untuk orang manja.
Syurga untuk orang yang berusaha.
 

No comments: