Orang selalu tanya, "Mengapa berniqab? Kenapa pilih warna hitam dan tak bosankah warna pudar? Tak teringin kah pakai tudung warna warni , manik berkelip kelip cantik, melilit -lilit kepala dengan tudung half moon atau menyarung busana indah kain chiffon jarang warna pastel ala puteri ? ".
Ramai terkeliru dengan perkataan hijab dan aurat. Aku dulu suatu masa itu jahil juga. Aku fikir cukup dengan scarf pendek menutupi rambut di kepala , tak perlu sarung kaki sudah menutupi aurat dengan sempurna.Gambar Hiasan : Model Urbaniqab |
Rupanya hijab ternyata jauh berbeza daripada aurat. Aurat ialah anggota tubuh yang wajib ditutup sekalipun dari pandangan mahramnya manakala hijab adalah suatu yang lebih dari sekadar menutup aurat.
Hijab itu bukan sekadar pakaian isteri isteri Nabi tapi juga pakaian sunnah yang menutup hati dengan rasa aib, menghindarkan si pemakai purdah itu untuk melakukan kemungkaran, menjaga akhlaknya seiring dengan pakaian taqwanya.
Aku tidak tahu sama ada mahu menjawab pertanyaan mereka itu atau tidak, kerana aku pasti perkataan yang terpacul nanti bakal mengguris hati si penyoal. Serba salah. Lazimnya aku hanya beri jawapan ringkas seperti aku suka warna hitam itu menawan, tampak cantik melihat Mak Arab berpurdah , mudah , tak cepat kotor, hitam masuk dengan semua warna pakaian lain dan selesa.
Bagiku, tiada yang pelik kiranya seseorang itu memilih untuk berpakaian ninja serba hitam.
Adakala aku rasa lucu dengan stigma masyarakat moden akan purdah , niqab, khimar, burkha atau hijab itu kolot dan taksub pengikut ajaran sesat tetapi tidak pula menjadi isu jika penganut agama lain seperti Sister Nun berlitup dengan kain labuh di Gereja , sami berbaju jingga neon menyilau dengan berkepala botak dan pelbagai lagi anutan agama dengan ritual aneh. Bukan mencemuh tapi memikirkan mana keadilan yang dilaungkan , mana toleransi dan sikap menghormati ?
Sekeping kain menutupi wajah ini adalah sunnah Nabi yang tak ramai mampu laksanakan apatah lagi di zaman dajjal yang penuh dengan fitnah. Isteri isteri baginda S.A.W begitu berhati hati melindungi kecantikan mereka dari dijamah oleh lelaki ajnabi yang bukan suami sah , disamping menjaga diri dari fitnah seperti zina akal, hati dan mata yang mana godaan yang bisa mengheret ke perkara terlarang. Tiada istimewa lagi jika seseorang wanita itu memaparkan kecantikannya dan bertabaruj(berhias) hanya untuk kelihatan istimewa di mata manusia , mengharapkan pujian manusia tetapi disisi Allah mendapat kemurkaan. Yang menyedihkan lagi hubungan yang dibina bersama pasangan yang sekadar tertarik pada kecantikan itu hanyalah plastik seperti komestik yang menempel di wajah , tidak kekal lama luntur seiring dengan tarikh luput usia manusia. Bila kulit kendur, kedut mula menghinggap, perut mulai gendut maka risau alang kepalang takut - takut nanti pasangan mencari yang lebih muda. Berbotol botol ubat botox, jamu, pil dan aneka collagen serta serum kecantikan ditelan, berhabisan ratusan hingga ribuan ringgit semata untuk tampil muda, seksi, cantik dan sewaktu dengannya. Ironinya tubuh yang dibanggakan hasil berjam jam usaha keras di gymnasium itu akhirnya dibalut dengan kain kapas putih, tiada lagi busana mewah dari Eropah. Waktu itu bedaknya hanyalah kapur barus bukan lagi bedak Lancôme.
Kita sering mempersalahkan kaum Adam kerana gagal mengawal nafsu dan merendahkan pandangan mereka . Ibnu Mas'ud menukilkan jihad seorang lelaki itu ialah menahan nafsu syahwatnya dan matanya dari melihat wanita bukan mahram manakala jihad seorang wanita itu menahan nafsu keinginannya dan matanya dari memakai pakaian yang boleh menarik perhatian dan nafsu lelaki terhadapnya. Ingatlah, perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari kiamat.Tiada Nur baginya.
Adakah kita sanggup meninggalkan solekan wajah dan perhiasan lain pada hari perkahwinan demi Allah?
Sanggupkah kita menolak perkerjaan jika bakal majikan menetapkan syarat tidak boleh berpurdah demi Allah ?
Adakah kita sanggup dipulaukan, dihina, dipersoal, dipandang ganjil, dan dikatakan fanatik atau ketinggalan zaman kerana berniqab demi cinta kita pada Rasullulah S.A.W ?
Soalan soalan ini menguji sejauh mana keihklasan kita dalam menghidupkan sunnah nabi dan meraih keredhaan Allah.
Saidina Aishah r.a mengungkapkan sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki.Wanita yang sebaik baiknya ialah bila dia ada di dalam sesebuah majlis tiada siapa yang menyedari kehadirannya, maknanya disini pakaian wanita itu tidak menarik perhatian dan tidak menonjol nonjol dirinya di khalayak ramai.Saidina Umar Al Khathab r.a pernah melarang kaum wanita agar tidak berjalan di hadapan kaum Adam.
Rasulullah S.A.W bersabda: “Wanita itu adalah aurat. Jika ia keluar (rumah), maka syaitan bergegas mendekatinya"
Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak.
Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh syaitan kerana sebab itulah wanita dikatakan fitnah
Sabda Rasullulah S.A.W lagi , " "Sesungguhnya seorang wanita, jika berhias lalu keluar rumah, maka ia adalah seorang pezina.Wanita yang memakai bau-bauan (wangian) kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya,maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.
Perhiasan paling indah di dunia adalah wanita, yang juga fitnah paling berbahaya sekali.
"Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi seorang lelaki daripada (fitnah) wanita." - Hadis Riwayat Bukhari.
Kalau tidak masakan Julius Ceaser, pahlawan Rom yang gagah itu lemah lutut terkesima dengan kecantikan Cleopatra.Allah telah mencipta wanita sebaik kejadian dan memelihara maruah wanita melalui perintah menutup aurat agar wanita ini diberi penghormatan dan dijaga sebaik baiknya. Malah wanita digugurkan kewajipan menunaikan Solat Jumaat untuk menjaga ikhtilat dan melindungi wanita dari fitnah. Solat wanita pula paling afdal ialah di rumah , di dalam kamar biliknya tempat dia tidur dan saf paling baik afdal bagi wanita adalah saf paling belakang sekali yakni jauh dari pandangan lelaki ajnabi. Ya Allah , betapa Allah sangat menjaga wanita tetapi sayangnya ramai wanita hari ini mensia siakan keistimewaan yang diberikan Allah.
Ketahuilah setiap keringat menahan panas berkerudung itu akan diberi ganjaran setimpal dengan kepayahannya menahan nafsu dari berhias dan berbelanja, menjaga akhlak wanita berniqab dan menahan sabar dalam menjaga auratnya serta tentangan dari pihak di sekelilingnya .
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah. Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah: 111)
Hanya orang yang terpilih akan "dibeli" oleh Allah dan yang ganjil akan memiliki pohon Tooba di Jannah, sebuah pohon yang rendang besar yang perjalanan untuk mengelilinginya mengambil masa 100 tahun. Pohon unik ini hanya untuk hambaNya yang kekal istiqomah mendirikan amalan di waktu orang lain tidak mengamalkannya atau melupakan amalan tersebut.
Abu Hurairah pernah berkata:
Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat sebatang pohon yang dipanggil "tuba" dan Allah berfirman kepadanya: "Keluarkanlah untuk hambaKu apa-apa yang mereka kehendaki." Maka keluarlah kuda serta pelana dan apa-apa keperluan yang dikehendaki dan dikeluarkan pula untuknya kenderaan dengan tempat duduk serta pengikatnya, apa-apa keperluan yang dikehendaki dan juga pakaian-pakaian. (Riwayat Ibnu Abid Dunya).
Di riwayat lain pula, ibnu Hibban meriwayatkan Hadis daripada Abu Said yang menceritakan seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan bertanya:
"Wahai Rasulullah, apakah tuba itu?" Baginda menjawab: "Ialah sebatang pohon yang sangat rendang sejauh 100 tahun perjalanan, manakala pakaian-pakaian penghuni syurga adalah daripada kelopak-kelopaknya."
Di zaman penuh kefasikan ini , ramai yang meninggalkan sunnah nabi kerana terpengaruh dengan dengan permainan dajjal. Malah ada yang tidak tahu amalan Sunnah Nabi dan paling mengharukan ialah orang yang tahu akan sunnah Nabi tapi tidak mengamalkannya.
Nabi SAW yang bersabda yang bermaksud: “Siapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerosakan pada ummatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid”. (Riwayat Baihaqi).
Dalam riwayat Thabarani dari Abu Hurairah ra. ada sedikit perbezaan, iaitu sabdanya yang bermaksud: “Baginya pahala orang yang mati syahid”. ( Ada yang mengatakan ia hadis dhaif.Sebahagian ulama berpendapat selagi Hadis dhaif tidak bertentangan dengan Al Quran dan hukum hakam maka ia tetap hadis, walaupun lemah tetapi bukanlah hadis palsu (Maudu’).
Ada hadis menyebut : "Apabila sunnah tidak diamalkan, ia kekosongan akan diisi dengan bidaah. Bahagialah orang yang pelik dari orang ramai semata-mata kerana ingin menghidupkan sunnah nabi.
Wanita yang berniqab itu di syurga kelak dapat melihat wajah Allah S.W.T.
Tatkala semua manusia itu berpusu pusu mencari Allah dan ingin melihat wajah Pencipta Maha Agung tetapi Allah S.W.T. akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu yang memakai purdah di dunia ini dengan ikhlas penuh istiqomah.
Sesungguhnya Allah suka yang ganjil maka jadilah orang yang amalannya ganjil.
Jangan putus asa, berusahalah dan sentiasa berdoa.
Berpenat penat lah di dunia , berehat rehat nanti di syurga . :-)
2 comments:
kagum aku weh dengan penulisan ko. good job. tazkirah ku di pagi jumaat :)
Syukran jazillan atas sokongan. Baru nak menapak dowh. Sila beri tunjuk ajar. hehe. Kena berguru lagi mcm tuan hamba yang otai :-)
Post a Comment